Sebuah Diari, Sebuah Sinopsis...



Berbekalkan semangat gigih untuk meneruskan pelajaran Hakim seorang remaja yang berasal dari kampung telah melanjutkan pengajiannya disebuah IPT di bandar Kuala Lumpur. Kesedihan hati Hakim mengenang nasib keluarganya yang daif telah menguatkan semangatnya untuk membina tangga-tangga kejayaan dalam hidupnya seperti remaja lain.  
           Sewaktu berada di IPT tersebut Hakim mengenali seorang gadis bernama Erina yang agak peramah dan sentiasa menjadi perhatian setiap jejaka di IPT tersebut. Pada hakikatnya tanpa pengetahuan Hakim, Erina sebenarnya berasal dari sebuah keluarga berada dan gadis liar yang sering mabuk bersama teman-teman lelakinya. Erina juga pernah bekerja sebagai GRO di sebuah kelab malam di ibukota.
           Dalam tidak sedar Hakim dan Erina telah jatuh cinta. Hakim mula menaruh harapan dalam hatinya agar mereka dapat hidup bersama suatu hari nanti. 
Pada suatu petang, ketika Hakim dalam perjalanan pulang dari kolej dia ternampak Erina keluar bersama dengan beberapa lelaki dengan berpakaian seksi. Keadaan itu membuatkan Hakim mula merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan Erina. Setelah mendengar hal sebenar dari mulut  Natasya iaitu kawan serumah Erina, Hakim merasa amat kecewa. Baru dia tahu selama ni perempuan yang selalu dia anggap baik & bersopan rupanya gemar keluar malam bersama teman-teman lelaki. Namun kerana sudah sayang dan cintakan Erina, Hakim tetap sabar kerana tidak mahu menjejaskan hubungan. Ibu bapa Erina pula yang kurang senang dengan hubungan mereka tanpa ikatan itu memaksa Hakim mengahwini Erina secepat mungkin. Tetapi Erina yang belum puas dengan kehidupan sosialnya cuba melakukan sesuatu dengan niat untuk melengah-lengahkan rancangan perkahwinan mereka. Namun setelah dipujuk Hakim akhirnya mereka mendirikan rumahtangga.
            Setelah menamatkan pengajian kini Hakim membuka sebuah perniagaan dengan pendapatan sederhana manakala Erina pula bekerja sebagai pegawai tinggi di sektor kerajaan. Di alam rumahtangga, Erina cuba mengulangi aktiviti lamanya iaitu keluar bersama rakan-rakannya hampir setiap malam.

"Pada hakikatnya tanpa pengetahuan Hakim, Erina sebenarnya
gadis liar yang sering mabuk dan tidur dengan pelbagai lelaki dalam hidupnya. Erina
juga pernah bekerja sebagai pelayan tetamu di sebuah kelab malam di
ibukota"

Hakim yang sentiasa bersabar dengan tindakan isterinya itu cuba menghalang dan menasihati isterinya. Akan tetapi nasihat itu langsung tidak diendahkan. Erina mula memberi alasan perkara ini terjadi disebabkan Hakim tidak pandai menjaga isteri serta kehendak naluri hatinya. Erina cuba mengungkit dan menyalahkan Hakim kerana terlalu mengikut kata ibu bapanya dulu untuk berkahwin sedangkan dia belum bersedia untuk
berumahtangga. Keadaan ini mengakibatkan berlaku pergaduhan diantara mereka. Segala teguran Hakim di balas dengan maki hamun Erina. Sedihnya Hakim tidak terkata. Hanya doa pada yang Esa yang menjadi pemujuk hatinya. Pernah sekali Hakim memohon kepada Allah s.w.t supaya nyawanya ditarik dulu kerana tidak sanggup lagi menanggung segala dosa dan perbuatan yang Erina lakukan. 
            Natasya iaitu rakan Erina pernah memujuk Hakim supaya cuba menyelamatkan rumahtangga yang hampir berkecai itu tetapi akibat kejahilan Erina tentang tanggungjawab pada suami menyebabkan semuanya sudah terlambat. Natasya pernah juga memberitahu Hakim supaya berhati-hati dengan sikap Erina umpama buah yang cantik diluar tetapi berulat di dalam...Hari demi hari pergaduhan mereka semakin teruk membuatkan Erina yang semakin liar itu jarang pulang ke rumah. Hakim cuba mencari jalan untuk memujuk Erina dengan membawanya pergi bercuti dengan niat untuk mengembalikan keindahan hubungan mereka seperti mula-mula dahulu. Tetapi sangkaannya silap apabila Erina telah berlaku curang dengan seorang lelaki ketika percutian itu. Pelbagai sumpah seranah dan maki hamun diberi Erina apabila Hakim cuba menegurnya.
            Sehinggalah suatu hari Hakim jatuh sakit akibat terlalu banyak memikirkan perangai dan sikap Erina yang melampau itu. Ditakdirkan Allah s.w.t setelah beberapa kali berulang-alik ke hospital doktor telah mengesahkan penyakit barah otak yang dihidapi oleh Hakim yang mampu hidup beberapa bulan sahaja lagi. Erina yang mengetahui hal itu hanya berdiam diri dan tidak dihiraukannya. Hakim hanya mampu menganggap bahawa ini adalah dugaan dan ujian Allah ke atasnya. Namun Hakim merasa amat sedih dan bersalah kerana tidak mampu membimbing Erina seperti isteri-isteri yang lain walaupun telah mencuba sedaya upaya menasihati Erina. Dalam keadaannya menanggung sakit itu Hakim telah menangis dan memohon pada Allah supaya Erina di beri petunjuk dan keinsafan. Tanpa diduga, dengan kuasa Ilahi, Erina yang ketika itu leka bersama bersama kekasih simpanannya mula sedar dan mancari Hakim yang telah terlantar di hospital.             
             Perasaan kasihan tiba-tiba timbul di hati Erina ketika sampai di hospital apabila melihat suaminya terlantar dalam keadaan koma. Tetapi segala-galanya sudah terlambat. Hakim pergi meninggalkan Erina buat selama-lamanya. Hasrat Hakim ingin melihat isterinya berada di sisinya tidak kesampaian.
Namun Erina yang terlalu sedih dan menyesal akibat perbuatannya dulu telah meratapi pemergian Hakim sehinggakan doktor mengesahkan dia gila kerana terlalu mengalami banyak tekanan perasaan.

Drama Megah Cinta Ilahi ini telah ditayangkan di TV1 pada tahun yang lalu. - editor



Mengumpat dan gosip mana lebih besar bahaya?

AHMAD BAEI JAAFAR

Mengumpat seperti yang diperjelaskan sebelum ini adalah dosa besar dan dibenci Allah. Namun sebahagian masyarakat kita masih menjadikannya satu tabiat yang menyeronokkan. Hukum haram hanya dipandang kecil. Mengapa keadaan ini boleh berlaku?
Jelas di sini, mereka yang terlibat dengan mengumpat ini tidak takut kepada Allah dan tidak takut kepada ancaman Allah. Hal ini kerana iman mereka kepada Allah terlalu tipis atau tiada iman, lalu sanggup melakukan apa sahaja.
Sebenarnya orang yang mengumpat ialah orang yang melanggar amanah dan menyalahgunakan kurniaan Allah iaitu lidah. Anggota lidah diberikan kepada manusia untuk membolehkan manusia merasai makanan, bercakap memberi nasihat dan melarang amalan yang keji. Tetapi sebaliknya manusia menggunakan lidah untuk mengumpat manusia lain.
Jika manusia sedar bahawa dengan mengumpat itu mereka telah melakukan dua dosa iaitu menjatuhkan maruah orang dan menyalahgunakan amanah Allah pasti mereka berfikir dua kali untuk mengumpat. Tetapi semua itu tidak pernah difikirkan oleh mereka.
Selain mengumpat, gosip adalah satu lagi bentuk dosa di alaf ini. Malah gelanggang gosip lebih luas kerana diterajui oleh media sama ada elektonik mahu media cetak. Sesuatu yang menjadi rahsia seseorang habis dibongkar kepada umum.
Ramai yang berminat untuk mengetahui gosip itu kerana dapat mengetahu rahsia orang. Sama ada cerita yang dibawa itu betul atau tidak, mereka tetap akan terimanya sebagai bahan berita malah ada yang sanggup memanjangkannya.
Sebenarnya dengan gosip ini tiada rahsia yang boleh disimpan lagi, semuanya akan terdedah secara pantas. Walaupun pihak yang teraniaya boleh membuat penafian tetapi penerima orang ramai masih tidak pasti. Begitulah bahayanya gosip.
Lazimnya artis digosipkan dengan cerita percintaan, pertunangan, perkahwinan, bercerai, dan pelbagai lagi yang semuanya diperoleh dari sumber yang tidak sahih. Kadang-kadang gosip ini dilakukan secara Serkap Jarang. Tetapi kesannya adalah sama, boleh menjatuhkan maruah artis berkenaan.
Gosip yang dicipta oleh wartawan dan kemudiannya diperpanjangkan oleh orang ramai itu boleh mencemarkan maruah artis terbabit. Hal ini kerana berita yang dibawa itu berkemungkinan termasuk dalam mengumpat atau menyebar fitnah.
Orang politik juga tidak terlepas daripada digosip oleh wartawan. Kadang-kadang digosipkan dengan wujudnya perempuan simpanan, melakukan hubungan terlarang dengan setiausahanya atau bercerai.
Berdasarkan keterangan di atas, gosip dan mengumpat dibina atas tujuan atau niat untuk menjatuhkan maruah seseorang. Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa gosip adalah untuk menyedarkan artis atau ahli politik yang sombong, tetapi kesannya tetap memalukan.
Jadi, apa bezanya gosip dengan mengumpat dalam hal ini? Sepintas lalu kedua-duanya tiada beza, tetapi kadang-kadang gosip boleh jadi fitnah jika semua itu tidak betul. Berdasarkan kedudukan itu, maka gosip lebih bahaya daripada mengumpat.
Walau bagaimanapun mengumpat dalam keadaan tertentu boleh dimaafkan malah pada enam tempat berikut adalah diharuskan dalam Islam. Demikian seperti yang disebut dalam kitab Hidayatus Salikin karangan Syeikh Abul Samad Palimbangi, iaitu:
1. Menyebutkan kejahatan orang zalim kepada kadi supaya dihukumkannya dengan yang setimpal.
2. Menyatakan seseorang itu membuat kejahatan yang jelas buktinya berdasarkan perbuatan mungkarnya supaya dengan cara itu dia boleh meninggalkan perbuatan maksiatnya.
3. Oleh sebab hendak meminta fatwa daripada mufti dia mengadu tentang seseorang yang menzaliminya apakah hukumnya dan apakah jalan penyelesaian.
4. Bertindak untuk menakutkan orang yang berkemungkinan hendak bersahabat dengan orang fasik atau zalim.
5. Untuk memberi tahu tentang orang yang tidak dikenal namanya lalu dia menyebut sifatnya.
6. Menyebut kejahatan orang yang sudah masyhur dengan kejahatannya supaya orang lain tidak menjadi mangsanya.
Supaya lebih jelas perhatikan beberapa contoh berikut:
Seorang pemuda telah mengambil barang milik bapanya. Lelaki lain yang melihatnya segera ke pejabat polis dan tanpa berselindung menyebut perbuatan jahat pemuda itu. Menyebut kejahatan orang lain adalah mengumpat tetapi dalam hal ini, dibenarkan supaya dengan itu pemuda itu boleh ditangkap.
Begitu juga dengan seorang pemimpin yang sering melakukan tabiat buruk seperti merokok. Hendak tegur sikapnya, tiada siapa yang sanggup berhadapan dengannya. Maka tabiat buruknya disebut di hadapan umum dengan harapan apabila dia dengar boleh timbul kesedaran dan berubah.
Dalam contoh yang lain, seorang wanita pernah ditipu oleh seorang lelaki dan berjaya memperdaya perasaannya malah hampir dirogol. Pada suatu hari dia ternampak lelaki itu sedang berbual dengan seorang gadis lain. Demi menyelamatkan maruah gadis itu, dia menceritakan kejahatan lelaki itu dengan harapan gadis itu tidak terpedaya dan menjauhkannya. Pada dasarnya ia juga mengumpat tetapi dibenarkan.
Dalam kes yang lain, seorang lelaki atau wanita yang sudah masyhur dengan kejahatannya. Namanya sudah dikenali umum malah menjadi bualan orang ramai. Menyebut keburukannya tidak lagi dikira mengumpat.
Empat contoh ini lazim berlaku dalam masyarakat kini dan inilah yang dibenarkan dalam Islam. Maka selain senarai di atas, tetap dikategorikan sebagai mengumpat dan berdosa besar.

Tuhan Lebih Berkuasa

Kau mesra dan manja
Bahgia selalu bersama
Tiada apa menghalang
Kemesraan kita bersama
Cinta makin membara
Hanyut di lautan gelora
Namun apa nak dikata
Tuhan lebih berkuasa
Hingga tak ku menduga
Takdir telah menentukan
Kasih tidak berpanjangan
Kau pergi tinggalkan ku
Sendirian sepi
Tuhan lebih menyayangimu
Dia lebih mengerti
Apakah erti ini
Ku redha pemergianmu oh.. Kasih
Airmataku bagaikan
Sungai biru yang mengalir
Mengiringi pergimu oh.. Kasih
Doa menjadi tuturku
Pinta keamanan untukmu...